Wednesday, January 4, 2017

Roti Canai Kekal Harga 50 Sen Sejak 17 Tahun

Di sebalik segelitir peniaga masih lagi mengeluh berikutan pelaksanaan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) kerana didakwa terbeban dengan kenaikan harga minyak masak, namun bagi seorang penjual roti canai di Alor Gajah, Melaka, beliau masih mampu mengekalkan harga yang sama sejak 17 tahun lalu.



Tidak menjadikan alasan penarikan subsidi minyak masak dalam botol sebagai sebab untuk beliau menaikkan harga jualannya, Alias Ahmad, 52, yang mengusahakan perniagaan roti canai di Restoran Sri, di Kampung Londang, Masjid Tanah, tetap menjualnya dengan harga 50 sen untuk sekeping roti canai.

Alias, yang merupakan seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, walaupun beberapa kali berdepan dengan kenaikan harga minyak masak, tepung gandum dan bahan mentah lain sepanjang tempoh tersebut, beliau tetap mengekalkan harga sekeping roti canai bawah RM1.

“Alhamdulillah, saya dapat menyerap kenaikan kos tepung dan minyak masak kerana semua kerja saya buat sendiri tetapi jika mengupah orang lain membuatnya, pasti tidak dapat mengekalkan harga bawah RM1.

“Setiap hari selepas Isyak, saya uli 15 kilogram (kg) tepung sebagai persiapan sebelum memulakan perniagaan pada jam 6.30 pagi,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Sinar Harian pada Isnin lepas melaporkan beberapa peniaga kecil di daerah Baling didakwa terjejas dan terpaksa menggunakan minyak masak paket kurang berkualiti bagi meneruskan perniagaan berikutan terbeban dengan kenaikan harga minyak masak dan kos sara hidup.

Menurut salah seorang peniaga, dia terpaksa menggunakan minyak masak paket 1kg yang didakwanya kurang berkualiti berbanding minyak masak botol berikutan kenaikan harga bahan asas tersebut.

“Sebelum ini guna minyak masak lima kilogram dijual dalam botol, tetapi selepas kerajaan naikkan harga minyak, kami terpaksa tukar kepada minyak paket berharga RM2.50,” kata peniaga itu.

Berdasarkan dakwaan peniaga tersebut, ini bermakna masih wujud segelintir orang ramai mahupun peniaga yang beranggapan bahawa kualiti minyak masak paket 1kg tidak berkualiti, sedangkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menjelaskan bahawa kedua-dua minyak masak paket dan botol mempunyai kualiti yang sama.

Malah, KPDNKK juga sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala untuk memastikan tidak berlaku kenaikan barangan secara mendadak dan tidak munasabah.

Sebagai contoh, Hamzah menjelaskan, sepanjang Op COSS yang bermula 22 Oktober hingga 15 Disember lalu, sebanyak 48 kertas siasatan telah dibuka, selain sebanyak 100,841 premis telah diperiksa dengan jumlah rampasan bernilai RM536,691.

Bagaimanapun, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan, boleh menghubungi talian tetap KPDNKK di 03-88826088 dan 03-88826245.

- mD


http://malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/650423-roti-canai-kekal-harga-50-sen-sejak-17-tahun-walaupun-selepas-rasionalisasi-minyak-masak.html

TAHNIAH !MELAKA DESTINASI TERBAIK!!!!!!!