Tuesday, November 29, 2011

Percutian di Shah's Beach Resort


SEKALI pandang di bahagian hadapan bangunan Shah's Beach Resort di Tanjung Kling, Melaka, memang anda tidak akan menjangka di dalamnya memiliki sebuah penginapan yang cukup menyeronokkan.

Bangunan lama dua tingkat yang masih tersergam indah dan kukuh itu rupa-rupanya adalah sebuah resort yang cukup menakjubkan.

Siapa sangka terdapat 50 bilik penginapan yang cukup selesa di situ, selain mempunyai suasana panorama dengan landskap yang cukup menenangkan.

Apabila kali pertama menjejakkan kaki di kaunter pertanyaan, anda pasti terpegun dengan dekorasi yang terdapat di bangunan utama itu kerana terdapat kerusi, meja, almari, perhiasan, lukisan dan ukiran antik berusia lebih 50 tahun menghiasi ruang lobi resort tersebut.

Sebaik melepasi kaunter itu, mata sekali lagi akan terpaku melihat keindahan deretan bilik penginapan yang menghadap laut Selat Melaka.

Suasana kedamaian terukir di wajah mereka yang pertama kali menginap di resort tersebut seperti tidak percaya di sebalik bangunan lama itu, terdapat sebuah kawasan yang cukup unik.

Pokok-pokok kelapa menghiasi kawasan hadapan bilik penginapan, selain tiupan angin saban masa dari Selat Melaka cukup melegakan.

Itulah suasana yang dapat digambarkan apabila berada di Shah's Beach Resort yang terletak di atas tapak seluas 0.8 hektar dan terletak sembilan kilometer dari bandar raya Melaka.

Resort ini menawarkan bilik penginapan calet tradisional jenis deluxe dan standard pada harga berpatutan. Kesemua bilik tersebut dilengkapi hawa dingin, katil bersaiz King atau Queen, peti sejuk dan Astro.

Setiap bilik pula terdapat beranda menempatkan meja dan dua kerusi untuk berehat sambil bersantai dan lebih menarik ia turut menyediakan satu petak letak kereta di belakang bilik.

Pengunjung juga boleh membuat pilihan sama ada bilik menghadap laut, kolam renang atau padang rumput menghijau saujana mata memandang.

Harganya berpatutan, malah pakej promosi yang selalu ditawarkan adalah antara tarikan kepada pengunjung warga tempatan ataupun luar negara.

Biarpun hanya menyediakan 50 buah bilik, namun resort ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang sewajarnya menjadi pilihan bagi mereka yang ingin keluar dari keriuhan bandar untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.

Selain dua kolam renang untuk dewasa dan kanak-kanak, pengunjung juga boleh memanjakan diri di D' Taman Sari Spa. Padang bola sepak bersaiz sederhana dan gelanggang bola tampar turut disediakan.

Bagi mereka yang gemar memancing, peralatan untuk aktiviti itu turut disediakan dengan kadar sewa RM20.

Aktiviti lain adalah bermain layang-layang, congkak, berbasikal dan untuk yang gemar membaca, bilik perpustakaan disediakan di tingkat atas bangunan utama.

Restoran Parameswara pula menyediakan masakan tempatan dan Barat. Ia dibuka dari pukul 7.30 pagi hingga 10.30 malam.

Kemudahan lain yang disediakan adalah dewan konvensyen, seminar, dan mesyuarat yang mana dewan besar boleh memuatkan 80 hingga 100 orang, manakala dua lagi bilik memuatkan 20 hingga 30 orang bagi satu-satu masa.

Pengurus Besar Shah's Beach Resort, Khairudin Shah berkata, nama resort itu diambil sempena nama bapanya Datuk H. M. Shah yang turut mempunyai sebuah lagi resort Shah's D'Village di Petaling Jaya, Kuala Lumpur.

"Resort ini dibuka pada Disember 1971 dan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan dan Industri, Allahyarham Tan Sri Mohd. Khir Johari ketika itu.

"Kami begitu mementingkan keselesaan kepada pengunjung dan kedamaian menginap di calet-calet yang disediakan," katanya.

sumber :Utusan